Thursday, March 20, 2008

Perak tetap mahu dua Timbalan Menteri Besar

BERUAS 20 Mac – Kerajaan negeri campuran di Perak akan tetap mengemukakan cadangan pelantikan dua Timbalan Menteri Besar walaupun perkara itu tidak termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata, calon bagi jawatan itu akan dipilih dari kalangan 10 anggota Exco yang bakal dilantik dalam tempoh terdekat.

‘‘DAP, PKR dan Pas hampir memuktamadkan senarai berkenaan dan kemungkinan akan diumumkan esok dengan majlis angkat sumpah jawatan diadakan Isnin ini,’’ katanya kepada para pemberita selepas menemui para penyokongnya di Air Tawar di sini hari ini.

Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan berkata, mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan sebelum ini memutuskan DAP diberikan enam jawatan Exco, PKR diperuntukkan tiga manakala dua lagi untuk Pas termasuk jawatan Menteri Besar yang telah diisi oleh Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang turut memenangi kerusi Parlimen Beruas pada pilihan raya umum lalu, sebelum ini mengumumkan akan mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar 1 manakala Timbalan Menteri Besar 2 akan dipegang wakil PKR dari kalangan kaum India.

Exco Selangor diumum Isnin

Exco Selangor diumum Isnin

SHAH ALAM 20 Mac – Teka-teki mengenai agihan kerusi Exco dalam kerajaan negeri campuran di Selangor termasuk bagi jawatan Timbalan Menteri Besar hanya akan terjawab selepas majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isnin ini.

Majlis tersebut yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini, terpaksa ditangguhkan berikutan pertikaian mengenai pengagihan kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, senarai Exco sudah siap dan hanya menanti pengumuman rasmi serta majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor yang dijadual semula Isnin ini.

“Ya, senarai Exco Selangor sudah disahkan dan akan diumumkan Isnin ini.

“Surat jemputan ke majlis mengangkat sumpah itu pun sudah dihantar kepada para tetamu,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penangguhan majlis mengangkat sumpah Exco Selangor yang sepatutnya berlangsung lusa.

Ditanya bentuk rumusan pengagihan kerusi itu, Abdul Khalid enggan menjelaskannya tetapi mengakui ketiga-tiga parti telah bersetuju dengan penyelesaiannya.

Diminta mengulas mengenai jawatan Timbalan Menteri Besar pula, beliau juga enggan memberi sebarang komen.

“Saya tak boleh komen, tunggu saja Isnin ini selepas majlis angkat sumpah.

“Nanti saya terangkan secara menyeluruh,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, pakatan PKR, DAP dan Pas memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dipertandingkan.

Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Muat Turun Poster Kabinet Malaysia 2008

Muat turun poster 'Kabinet Malaysia 2008'

http://www.utusan.com.my/utusan/specialcoverage/pilihanraya2008/kabinet2008.pdf